Thursday, August 5, 2010

Dari sudut manakah Ia hadir??





Saban waktu Ain memerhatikan anak muda itu.

Meski pekerja kian memenuhi ruang-ruang pejabat,
meski kertas-kertas kian menimbun,
meski hari kian meninggi...

Anak muda nan berkaca-kaca matanya, rambut agak ikal, badan sedikit kurus.
Tapi sayang... disitu... ditubuh itu jualah terpampang kurangnya.
Anak muda itu tidak mampu bersuara. Ia bisu.

Dan atas sifat bisunya itu, digelari dia `busu', sebagai menggantikan bisu. Sedang namanya jelas terpampang di papan penyata. Izwan Daniyal.......
Tapi itulah yang namanya manusia. Sesuatu kekurangan biasanya mampu menutupi sekujur tubuh terus dari pengamatan orang kebanyakan. Meski seluhur mana wajahnya. Meski sejujur manalah hatinya.

Sekali terjadi Ain terpaksa menyiapkan kertas laporannya nan amat mendesak. Mahu atau tidak Ain terpaksa menyiapkan juga meski malam kian menerawang memenuhi saujana mata. Sedang Mila adn Kak Su terlihat keberatan menemaninya. Lantaran mungkin juga mereka ada acara malam itu. Sama ada bersama suami mahupun `kononlah' suami..
Dan dalam kegelisahan dan agak ketakutan itulah Ain sedaya mungkin menyiapkan tugasannya.
Hmmm,. aku sendirian dan tapi tiada siapa mahu membantu saat sebegini..

Seusai siap kerjanya Ain terus terburu-buru meninggalkan mejanya menuju ke lif.
Tapi terus tersentak.
Demi dia melihat anak muda bisu itu duduk di sofa berhampiran pintu utama.
Ingin dia tanyakan apa mahunya sehingga duduk di pejabat hingga jauh malam. Tapi niat terus terhenti pabila anak muda itu menggayakan menulis ditapak tangan sambil menunjukan isyarat bagus. Seolah tertanya "Kerja awak dah habis ke?"

Ain termanggu. Hening. Apakah dia berniat ingin melindungi ku selama aku bersendirian tadi? Sedarlah dia tanpa disedari, tanpa disuruh anak muda bisu itu sudah menemani dirinya hingga usai kerjanya.

"Awak... temankan saya tadi?"

Mata Ain kian menatap mata Izwan Daniyal nan kian jatuh ke lantai dan sedikit angguk. Perlahan. Seakan takut akan murka Ain, atau barangkali saja anak gadis itu salah sangka akan tujuan ikhlasnya.
Dan disinilah hati Ain benar-benar jatuh. Sedarlah dia akan anak muda didepannya ini memiliki kekurangan namun ada jiwa nan amat besar. Tidak akan dimiliki oleh sembarangan orang.
Sehingga ke rumah bayangan anak muda itu menemaninya. Tidak mahu meninggalkan pundak fikirannya. Dan berlalulah malam dengan sejuta tirai mimpi dan angan.

Esok.

Seusai mempersembahkan kepada majikannya laporan yang dibebankan kepada dirinya, lantas saja Ain mencari kelibat anak muda. Tapi tiada. Mahu ditanyakan takut jadi bahan tawa, bahkan mungkin umpat keji.

Hanya waktu makan tengah hari Ain terlihat anak muda baru memasuki pejabat dan terus melakukan tugasnya tanpa memandang sekilas pun ke arahnya. Menjeling pun tidak.

Selang hampir setengah jam, anak muda itu memasuki bilik mesin fotostat. Dan Ain pun mengikuti. Untung semuanya sedang tiada dipejabat. Masih di Cafe barangkali. Barangkali saja...
Ain cuba menghampiri Izwan Daniyal yang membelakanginya, sedang menyusun fail-fail dan barang-barang pejabat.
Ain perhatikan dan amati tubuh itu dari belakang

"Sayang sekali awak tak mampu mendengar dan bersuara. Awak sedar tak? Awak telah menyentuh naluri kewanitaanku. Telah memiliki hati ini? Saya... Saya..
benar benar ingin mengatakan semuanya tapi tidak tahu bagaimana. Izwan Daniyal, saya ingin awak tahu bahawa saya menyintai awak."

Seusai Ain melafazkan, terasa ada air-air jernih memeniti matanya. Tak kuasa hendak dihapusnya. Ain hanya tunduk dan mahu beredar. Belumpun Ain ingin membuka pintu bilik, tiba-tiba lengannya dipegang dari belakang.
Hampir sesak nafas Ain melihat Izwan tertunduk sambil tangannya masih memegang lembut lengan Ain

"Awak,.. awak dengarkah semua tadi?"
Diam. Kemudian Perlahan-lahan angguk

"Haa..? Tau tak yang saya cintakan awak?"
Terdiam agak lama. Sekali anggukan.

"Saya tahu awak pun cintakan saya kan?"

Air mata Ain kian menuruni lurah wajahnya. Kali ini dia memegang tangan Izwan yang masih dilengannya. Senyum kian mengukir di wajahnya.
Kali ini tidak sendirian. Kerana diwajah Izwan senyumnya lebih luas dan matanya sudah berani menatap mata anak gadis itu

Dikejauhan terdengar bunyi pintu pejabat dibuka lebar menandakan para pekerja sudah kembali dan kian memenuhi ruang pejabat.
Sedang Ain dan Izwan masih tertegak disitu. masih saling tersenyum indah.

Dan mereka tidak peduli lagi akan mata-mata dan mulut-mulut orang.