Wednesday, March 31, 2010

Mimpi..?

Sepulangnya aku ke kampung kali itu amat berbeza warnanya.
Bayu nan sering singgah di dedaunan petang tidak lagi melirih...
kecapi sumbang nan sering mengiringi langkahku tidak lagi kedengaran.
Lantaran seorang sahabat nan sama-sama bermain berkubang dulu, kini terlantar sakit.
Diserang sakit asma nan kritikal.
Khabarnya sudah puas mengusungnya ke hospital-hospital dan rumah perubatan. Bahkan sudah pula mencuba ke setiap bomoh, dukun nan ada. Namun hasilnya tetap sama.

Aku hanya tahu akan keadaannya sesudah dua hari bertamu kembali ke desa nan bertahun tidak dijejaki.

"Dah lama dah sakitnya..." Bilang ibunya nan antara kedengaran dengan tidak.

Sewaktu ku luruti tangannya nan hanya tinggal kulit membaluti tulangnya, dia hanya memalingkan muka kearahku dan cuba membuka matanya. Payah.

Lantas jalan terakhir dia hanya ukirkan senyuman kelat tapi cukup ikhlas nan benar-benar mendentang melengking di dasar pundak akal ku. Hingga melarat banat...

Waktu itu, malam sudah pun lama berlabuh. Orang kian ramai datang membacakan Yassin, ada pula yang mengipas-ngipas, mengurut-ngurut, menanyakan yang patut. Ada juga nan sekadar melihat dan menggeleng-geleng.
...Aku yang turut serta dan selesai membacakan Yassin, terus bersandar ke dinding ruang tamu.
mengunjurkan kaki sambil memicing mata agar hilang keruh dan resah nan makin bertandang.

Saat itulah aku hilang dalam duniaku...
Perlahan-lahan aku kian lena...
Menyaksikan keramaian dan keriuhan tadi menghilang, diganti gelap.
cuma gelap.
Aku cuba mencari jalan keluar tapi langkah kian berat. Nafas kian mendesak...
Hinggalah aku terlihat suatu cahaya yang kerdil dalam kegelapan itu..
Aku hampiri. Barangkali itu sajalah jalan untuk aku keluar dari lubuk kelam ini.
Namun pabila ku hadiri... cahaya nan kerdil itu hanyalah dari sebatang lilin. Yang dipegang oleh sahabatku yang terlantar itu.
Yang sakit itu....
Tapi bukankah dia sedang terlantar dirumahnya?? Apa pula yang dilakukannya disini?
Dimanakah aku?

Dia hanya tunduk mencangkung-cangkung sambil mengais-ngais seolah mencari sesuatu.
...Belum pun sempat aku bertanya, Dia bersuara...

"Sudah terlalu lama aku disini. Ini bukan lagi tempat aku. Waktu ku sudah habis......"

Perlahan-lahan dia bangun sesudah mendapatkan apa yang dia cari tadi.
Terus berpaling dan berjalan amat perlahan meninggalkan aku. Kian menjauh!
Sedang cahaya dari lilin semakin samar, lantaran hampir habis.

Seketika di berpaling. Memandang ke arah ku tanpa sebarang kata.
Hanya matanya seakan-akan mahu saja menceritakan sejuta rahsia.
tapi,.. nyatanya dia kembali berpaling, kembali berjalan perlahan-lahan dan menghilang dalam gelap itu..

Tersentak aku dari tidur ku tadi. Ibu sahabatku menangis. Orang kian meriuh. Seorang lagi sahabatku mendampingiku dan berkata...

"Dia sudah MENINGGAL....!!"

No comments:

Post a Comment