Wednesday, March 31, 2010

Drama sebabak...




Tirai dibuka.

(Masuk seorang pemuda. Berpakaian agak lusuh dengan beret nan kian hilang warna.)

Pemuda :
Aku adalah seorang pelukis. Tugasku adalah menyaksikan kehidupan dari segala sudut. Dan merakamkan atas kanvas dengan jalur-jalur warna nan mencerminkan watak dan suasana nan pelbagai...

(Masuk pula seorang wanita berpakaian korporat. Sambil memegang telefon bimbit.)

Wanita Korporat :
Aku adalah seorang usahawan yang utama dan terutama di rantau ini. Biarpun kecil tubuhku tapi itu bukanlah penghalang untukku menggoncang dunia. Huh! bukankah orang tua-tua pernah berpesan tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Tapi oops,.. saya masih belum mahu berkahwin. Itu hanya melambatkan cita-cita dan impianku...


(Masuk seorang pengemis. Pincang sebelah kaki dengan nanah nan kian memburuk dan membusuk)

Pengemis :
Aku tidak tahu mengapa aku boleh sampai kesini, dan semalam aku ada dimana. Dari mana aku datang?? Ahh.. lapar dan pedih perutku... nakkan ada isi..

Tolong.. Encik,.. Cik, Tuan, Puan... atau apa sahaja gelaran kalian. Lemparkanlah secebis makanan yang kalian ada. Biarpun sekadar sisa.. Aku lapar.. lapar.. LAPAR...

(Masuk seorang anak kecil berpakaian sekolah rendah sambil menggalas beg)

Anak kecil :
Aku adalah anak pelapis, penyambung warisan dan tunas generasi muda nan bakal mengenudi negara ini pabila tiba saatnya. Bagaimana aku diasuh dan diwarnakan... itulah aku disuatu saat nanti. Bukan kecil tapak tangan tanggungjawab nan aku galas.

Lampu stage menjadi agak samar-samar dan suram. Empat watak tadi mula mengambil tempat masing-masing sambil membentuk bulatan. Tiba-tiba.. `DAMM!'... Kedengaran bunyi hempasan dari belakang penonton. Masuk seorang lelaki berjubah, berlumuran darah penuh dibadan. Merangkak, menyusup dengan payah ke arah pentas. Sambil suaranya teriak "Tolo..ng, T...olon...g..!"

(Sesampainya di atas pentas)

Lelaki berjubah :
Tolong... tolong aku...(Kepayahan) Sela..matkan aku. Aku parah.. Aku hampir lenyap. A..ku makin hapus. Tiada aku tiadalah kalian. Tolong.. Hidupkan kembali aku...Hidupkan ROH aku kembali... Tolong....

Pemuda :
Siapakah dikau wahai lelaki aneh?? Apa yang terjadi padamu?? Mengapakah kau berlumuran darah begini?
Dan pertolongan bagaimanakah nan dikau mahu dari kami?
Lelaki berjubah :
Aku adalah ISLAM... Agama kalian..(Bersuara payah) Aku kini kian terhapus dalam fikiran dan norma-norma kehidupan kalian. Hanya segelintir yang mahu ingat padaku. Tolong.. tolong hidupkan aku kembali dalam era dan zaman kehidupan kalian kembali..(Memegang tangan pemuda)

Pemuda :
Maafkan aku.. aku tak mampu menolongmu. Bukan aku tak sayang padamu. Tapi... Ahhh!.. Aku hanyalah seorang pelukis picisan. Insan seni na terkecil nilainya. Suaraku tentu takkan didengari... Maafkan aku. Aku.. Aku lemah... (tunduk)

(Lelaki Berjubah sayu, kemudian memandang wanita korporat.)

Wanita korporat :
(Memandang pelik seketika).. Ohh.. Ohhh.. Jangan cari aku. Aku tidak mampu menolongmu. Urusanku keliling pinggang. Orang-orang yang berurusan denganku kebanyakkannya orang luar negeri yang tidak tahu agama Islam. Aku terpaksa melanggarmu, minum dengan mereka dan terkadang berjudi dengan mereka. Aku terpaksa menjadi mereka kerana kepentingan perniagaanku. Maaf, aku tidak sanggup kehilangan semua ini. Carilah orang lain...

(Lelaki berjubah kecewa nan sangat, beralih pula ke arah pengemis.)

Lelaki berjubah :
Kau.. kau.. tolonglah aku. Kau mampu. Kau tidak menolak aku seperti mereka-mereka ini. Aku tidak sekali-kali menilai rupa dan pakaianmu. Bantulah aku.. Bantulah..

Pengemis :
Haa?? Aku?? Tolong..? (Mencangkung) Perut ku sendiri belum berisi. Aku pun tidak ingat bila kali terakhir aku makan. Itu yang lebih penting. Bagaimana hendak berjuang dengan perut kosong? Bangaiman hendak menyampaikan dakwah dengan perut berkeroncong??... Maaf.. Aku tidak mahu...

(Lelaki berjubah berpaling dan memandang ke arah anak kecil.)

Lelaki berjubah :
Anak... Anak... Dikaulah satu-satunya harapanku kini. Dikau masih suci.... Masih bersih dari segala kotor, noda dan dosa yang saban hari manusia-manusia hamburkan. Marilah nak.. Bantulah aku.. Hidupkanlah aku kembali....

Anak kecil :
Tuan... Aku... Aku tidak dapat membantumu. Aku tidak pernah diajar mengenalimu. Meskipun aku lahir dalam Nur mu, tapi hanya pada nama. Tidak pernah sekali-kali ayah ibuku mengajar aku adik beradik akan dikau... menuruti ajaran dalam dirimu. Aku tidak diajar mengaji dan sembahyang. Ayahku bilang, kalau mahu maju dalam dunia sebegini mencabar, tidak perlu terlalu terikat dengan dirimu. ampunkan aku Tuan.. (Menangis). Aku teringin sekali mengenalimu.. Tapi...

(Empat watak keluar dari pentas. Berturutan. Lelaki berjubah kian membuak darah... Menjerit dalam kesakitan nan amat pedih..... Lampu perlahan-lahan samar dan gelap.)





Tirai ditutup.



Nota : Drama sebabak ini akan dipersembahkan didalam hati sanubari kita masing-masing, Setiap waktu setiap ketika.... Tepuk dada tanya selera....
-Segala watak dan sipelaku adalah Titipan amanah....

No comments:

Post a Comment