Tuesday, April 8, 2014

Cerita dipinggir Kuala Lumpur

Semakin galak asap rokok keluar dari mulut Maniam (nama sebenar). Berkepul-kepul dan seakan berpusar di awangan sebelum hilang dibawa angin malam.
Sisa hidangan makan malam kami sudah agak lama terbiar diatas meja, tiada pelayan yang sedar dan sudi membersihkan meja kami. Barangkali hidangan kami agak murah dan berharga 'biasa'.... atau barangkali kerana kedudukan meja kami agak jauh dari yang lainnya.

Tak kisahlah...

Sengaja saya memilih meja nak paling hujung, letaknya hampir di pinggir bukit nak agak curam. Sekaligus mampu menyerap segala pemandangan kotaraya KL malam itu. Jadi  pinggan dan gelas kami nan terbiar itu tidaklah mengganggu pada saya, lantaran segalanya sirna bila dibandingkan dengan indahnya wajah malam nan kian kelam dan temaram.
Lagi pula aku masih menanti cerita nan bakal keluar dari mulut Maniam. 
Memang! 
Maniam seorang yang amat ramah dan gemar bercerita. Apatah lagi tugasnya seorang pengawal keselamatan disebuah syarikat yang berpangkalan di Bandar Baru selayang.
Dan dia ini sahabat lama.

Yang sinisnya, cerita belum selancar mana, tapi tangannya  ligat  mengapai-gapai ke udara, seolah ingin merentak dan mencengkam sesuatu dari kegelepan malam. 
Dan sayang, lincah tangannya itu tidak selari dengan nada cerita nan keluar dari mulutnya. 
Mendatar....
Tapi aku tetap memasang telinga.....

"... Kau tau? Pernah aku ditugaskan mengawal di sebuah jirat (perkuburan) cina pada shift malam. Dulunya aku diletakkan berdua. Tapi semenjak kerajaan melancarkan 'pemutihan', ramai yang terpaksa berhenti dan akibatnya  lama jugak aku sorang-sorang di tanah perkuburan itu. 
Takut? Hehh, bohong kalau aku katakan aku tidak takut sama sekali. Tapi mungkin kerana sudah terbiasa, pandangan batu nisan nan berselirat itu tidak sebegitu menakutkan. Bahkan keterbiasaan ini juga membuatkan aku bebas berjalan seluas kawasan jirat Cina itu.

Yang hebatnya, Kaum kerabat orang yang sudah mati ada jugak datang. Bukan setakat baju, buah-buahan, makanan, bahkan duit pun dibagi. Banyakkkk. Paling sikit pun seratus, kadang lebih.. Pesan cuma satu...

"Lu jaga ini kubur baik-baik ya..."  

Semakin aku senyum, semakin itu laju wang dimasukkan ke kocek aku. Dan ini juga sebabnya aku lebih senang menjaga kawasan jirat ini dari menjaga tempat-tempat lain.

Pernah satu malam, aku minum sampai mabuk. Tapi masih mampu aku mengingati dimana aku dan apa ku lakukan. Aku membawa botol arak yang separuh sudah selamat dalam perutku, dan semangkuk daging ayam tandoori. Aku duduk disebelah jirat yang agak besar. Aku lihat gambar pemilik jirat itu adalah seorang anggota polis lengkap beruniform. Melihat gayanya barangkali era 70an atau awal 80an.
Aku tuangkan sedikit air arak dalam mangkuk kecil yang memang sedia ada. Dan aku carikkan agak besar ayam tandoori itu dan juga aku letakkan hadapan jirat bekas polis itu.
"Makan datukk... Minum... saya belanjaaa. Kita member maaaa.." Aku kian meracau sambil tanganku memegang baru jirat itu. Seolah-olah memeluk. Dan kemudian aku pun tewas. Tertidur. Pengsan. Tak sedar lagi. Tak berkutik.....

Hampir sejam kemudian, mungkin lebih. Atau mungkin saja tidak selama itu. Aku pun mulai sedar. Mula mengusap-ngusap wajah, menggaru kepala dan mula mengumpul waras. Perlahan-lahan aku mulai sedar. Kwasan jirat masih sunyi dan aku sudah tertinggal waktu meronda. Sebelum aku bangun, aku lihat botolku sudah habis dan sudah aku lemparkan tadi sebelum terlena.
Demi terlihat, arak dan ketulan ayam di dalam mangkuk yang tersadai dihadapan batu jirat, aku terus ambil dan tanpa berfikir panjang aku teguk arak itu dan aku kunyah ayam yang tersisa itu.

Tapi, kosong..... Tidak merasa apa-apa. Seakan-akan menelan angin.
Aku terdiam dan memandang ke arah foto gambar mendiang polis. Teringat tadi aku mempelawa 'beliau' untuk makan dan minum....

Apakah 'dia' benar-benar sudah makan dan minum hingga tiada tersisa sedikit pun rasa ayam dan arak tadi.......?



No comments:

Post a Comment