Tuesday, March 25, 2014

Ayah Punya Mimpi



Selama 18 tahun ayah menjadi bilal, siak di Masjid itu, terkadang penuh luka menahan caci tohmahan orang masjid yang tidak sebegitu menyenangi ayah. Maklum ayah 'orang luar' yang mendapat rezeki di masjid itu, merangkap guru agama di kelas Fardhu Ain dlm perkarangan masjid. Apatah lagi didirikan rumah sederhana oleh pihak masjid untuk ayah sekeluarga tanpa sesen pun sewa. Namun ayah sedar orang makin kurang senang dan mula memusuhi ayah, baik secara terang-terangan, maupun secara diam yang mana pada ayah yang diam-diam itu jauh lebih bahaya.

Lipatan amarah mereka-mereka ini akhirnya berhasil satu persatu. Ayah diberhentikan dari jadi bilal, tugas mengajar kelas Fardhu Ain diganti dengan guru dari Perkim, sedangkan guru itu sendiri adalah salah seorang bekas anak murid yang pernah belajar dengan ayah.
Tak cukup dengan itu, rumah tempat kami berteduh selama ini terpaksa dikosongkan atas sebab pembesaran kelas Fardhu Ain.

Bertahun menahan dan menerima kata-kata dan perbuatan dari orang masjid, akhirnya ayah sudah jerih.
Terluncur juga kata-kata dari ayah akhirnya, "Rasanya sudah tiba masanya aku berhenti dari mengajar....."
Meski dipujuk ibu tapi nampaknya hati ayah sudah keras. sudah bulat keputusannya.
Hinggalah malam itu ayah bermimpi....

.....Dia berada di sebatang jalan sendirian, ditengah malam dengan kiri kanan tidak jelas rumah-rumah, lantaran lampu jalan nan samar-samar.
Puas ayah melilau kiri kanan, memerhati dan mengecam dimanakah dia berada kini namun gagal. Dia seakan-akan asing di tempat itu. Maka berjalanlah ayah dengan perlahan, berharap akan menemui penghujung atau sekurang-kurangnya tempat untuk berteduh melepas lelah.
Dalam penat berjalan itulah, ayah terjumpa arwah abang Hanzal. Dia merupakan salah seorang anak muda yang pernah diasuh ayah hingga remaja namun dia meninggal dunia kerana jantung berlubang diusia muda. Tapi sungguh ayah tidak ingat bahawa abang Hanzal sudah pun meninggal. Bertanyalah ayah dimanakah mereka dan dimanakah jalan keluar. Abang Hanzal berkata, kalau Ustaz mahu jalan pulang mari saya tunjukkan.
Maka berjalanlah mereka berdua didalam pekat malam dan jalan yang makin memanjang seakan tiada penghujungnya. Sedang lampu jalan kian samar dan rumah-rumah kian sayup. Pudar ditelan gelap malam.

Bertemulah pula ayah dengan seorang kenalan ayah semasa muda yakni arwah Pak Nedi yang duduk ditepi jalan nan maha sunyi itu. Dan sekali lagi ayah benar-benar tidak ingat bahawa Pak Nedi juga sudah meninggal juga. Pak Nedi terkejut melihat ayah dan bertanya "Apa yang Ustaz lakukan disini? kenapa boleh sampai disini?" Tentu ayah tak mampu memberi jawapan.

Sunyi seketika...

Sedang masing-masing sunyi tanpa suara, ayah ditegur oleh seseorang yang baru sampai. Iaitu arwah guru ayah, Tuk Kosik (gelaran orang kampung pada arwah).
Sekali lagi ayah ditanya bagaimana boleh sampai disini. Ayah menceritakan segalanya pada ketiga-tiga 'tetamu' itu, sehingga tentang ayah ingin berhenti dari mengajar dan tidak mahu lagi menjadi bilal.

Hening seketika semuanya.
"Kalau begitu tekad kamu Mahar, ikutlah kami. Kami akan tunjukkan tempat kamu sekarang." Suara Tok Kosik lembut dan amat mendatar. Dan ayah pun pasrah mengikut gurunya.
Dan berjalanlah keempat-empat mereka didalam pekat malam.

Sudah jauh berjalan, sudah lelah badan namun belum sampai ke tempat dituju. Ayah mula perasan jalan nan panjang itu makin sempit dan malam makin gelap, dan gelap.....
Ayah mula merasa ada sesuatu yang tidak beres. Ayah pun mula memperlahankan langkah dan melayan getar dalam jiwa. Ayah mula melihat wajah arwah abang Hanzal, Pak Nedi dan Tok Kosik. Semuanya wajah yang suram dan tidak bermaya.....
Dan akhirnya.... Mula ayah sedari. Bahawa mereka semuanya sudah meninggal dunia. Ayah mula ketakutan.
Ayah berhenti berjalan dan memandang arwah gurunya yang sudah tidak jelas kelihatan wajahnya, hanya badan dan putih jubahnya kelihatan.

"Kemana guru ingin membawa saya? Dimanakah tempat yang guru maksudkan itu??"

Perlahan dan sayup suara arwah Tok Kosik menjawap "Disinilah tempatnya Mahar. Inilah tempat kamu sekarang. Dikau sudah putus semangat dan lemah jiwa menghadap ujian dunia jadi tidak ada maknanya kamu disana lagi... Maka disinilah tempat kamu"

Tersentak dan ayah terbangun dari mimpi itu. Meremang dan menggigil seluruh tubuh mengenangkan bermimpi tiga orang yang sudah arwah sekaligus dalam satu mimpi.
Kata-kata arwah gurunya kembali kedengaran...

Dan ayah menangis sendirian ditengah malam.........................................




No comments:

Post a Comment