Tuesday, April 8, 2014

Ayah punya mimpi 2


Semakin hari semakin aneh perilaku adik aku nan paling bongsu. Kadang-kadang jadi amat menyebalkan dna terkadang jelas bukan dibuat-buat olehnya tapi seperti ada sebab dia jadi sedemikian.
Tiba-tiba dia makan 4 keping roti canai sekali makan. Bahkan ingin menambah lagi sebelum ditegah.
Tiba-tiba suka duduk sendirian tanpa bergerak diatas katil saat orang lain sudah nyenyak ditengah malam.
Tiba-tiba dia gemar mandi menyelam dalam kolah mandi yang mana terpaksa buang airnya dan diisi air lagi. Tapi esoknya dia mandi menyelam lagi dalam kolah.
Seakan-akan disengajakan demi menyakiti hati semua yang ada. Tapi ayah hanya menegur kami seandainya marah adik bongsu agak berlebihan.

Malam itu, bermimpilah ayah...

.....Kami sekeluarga berjalan jauh di tengah padang tandus, konon ingin berkelah dan sedang mencari lautan sebagai destinasi sekeluarga. Entah kenapa kami tidak manaiki van, bas atau kereta. Ya! kami berjalan. Dibawah panas terik matahari. Belum lagi bahang jalan nan kian memanas.
Setelah kami 7 sekeluarga jenuh berjalan, berhentilah kami disuatu dataran luas melepaskan lelah nan kian menyesak. Mmenperbaiki susunan nafas sebelum kembali berjalan mencari lautan nan entah dimana!

Maka berjalanlah kami kembali. Ketika itulah mula kedengaran dentuman dan gegaran nan mengganggu perjalanan kami. Makin lama makin kuat dna makin hebat.
Dari atas bukit nan tidak seberapa meninggi di hadapan kami, menderulah beratus-ratus seladang liar yang besar-besar dan bagak menuruni bukit itu dan berlari kearah kami untuk merempuh.
Bertempiaranlah kami melarikan diri. Kami berlari sambil memegang tangan masing-masing agar tiada keciciran.
Tiba disimpang jalan, ayah mahu ke arah kanan yang agak selamat kerana bukit-bukit. Tapi kami mahu ke kiri. Mungkin lebih selamat. Waktu itu putuslah tangan ayah dengan kami. Kami terus berlari beramai-ramai sementara seladang-seladang itu kian galak mengejar. Kian Rakus!
Sedang ayah sudah selamat diatas bukit.
Ayah menjerit-jerit menyuruh kami menyelamatkan diri. Berlari lebih pantas.

Saat itu... kaki adik bongsu tertarung. Dia terjatuh dan terlepaslah pegangannya dengan kami. Kami tiada daya mahu menyelamatkan dia. Seladang-seladang itu makin hampir!
Hancurlah tubuh adik bongsu dirempuh dan dipijak-pijak ratusan seladang itu.
Bila semuanya sudah berakhir, meraunglah ayah dari atas bukit sambil mendekati kami.
"Kenapa kalian tinggalkan dia? kenapa kalian tinggalkan.....?"

........Dan ayah pun tersentak dari mimpi.


-Selang beberapa hari berlalu, adik bongsu didiagnosiskan menghidap tumor didalam otak...-


No comments:

Post a Comment