Sunday, March 7, 2010

Sayang Atuk pada cucu

Waktu aku masih di tingkatan 4.
Masih `innocent' diluar tapi `rebel' didalam.
Masih dipanggil 'Star' dalam matapelajaran sastera. (Sastera je laaa, yang lain.... hmmm)
Masih tergilakan-gilakan Tusiah, seorang gadis nan terbilang di sekolah aku..

Petang itu, seusai minum petang dan siri kartun Moby Dick, aku pun menyiapkan kerja sekolah yang sepatutnya aku siapkan semalam..

Arwah atuk masuk dan memerhatikan kerja aku dari belakang. Terus saja dia menghulurkan sebatang pen yang cukup mahal dan cantik coraknya. Aku masih ingat, pen itu bercorak marmar hitam dan berjalur keemasan. Aku tau sebab selalu lihat dalam iklan jenama Dunhill.

"Untuk apa ni , Tuk?"
"Kau pakai lah dulu pen ni. senang kau nak buat kerja sekolah. tulisan pun jadik cantik"

Pandai atuk aku memujuk aku nan sememangnya tak perlu dipujuk untuk menggunakan pen sebegitu rupa.
Apa lagi, cepat sahaja aku menulis dan membuat carta dalam kerja sekolah aku. Patutlah mahal pen ni, menulis pun tak rasa lenguh mana.(ke perasaan aku je...)

Selang hampir dua jam kemudian, arwah atuk aku masuk balik ke dalam ruangan aku belajar dan meminta kembali pen yang diberikannya tadi.
Walau agak keberatan, tapi aku tau itu bukan pen aku.

Atuk tanya :
"Tak marah ke atau sedih bila atuk ambik balik pen ni?"
"Nak sedih ape pulak tuk, bukan saya punya pun."
"Haa.. macam tu lah kalau atuk dah meninggal nanti, jangan sedih-sedih sangat. kan atuk ni dan kita semua ni Tuhan pinjamkan je atas dunia ni..."

.. Tak sangka, dari hanya sebatang pen, sampai kesitu ajaran yang arwah atuk berikan...

Dan sekarang atuk pun dah tidur buat selama-lamanya.
Mungkin dia lebih aman sebab aku tidak menitiskan air mata berlebihan pada saat dia dikebumikan...

No comments:

Post a Comment